Thursday, 3 February 2011
MOTIVASI MEMBINA HARGA DIRI
TIDAK dapat disangkal lagi bahawa aras keyakinan dan motivasi diri banyak bergantung kepada harga diri (self-esteem) seseorang pelajar.
Saya akan huraikan beberapa strategi yang boleh dilakukan oleh diri sendiri guru serta ibu bapa untuk membantu seseorang pelajar meningkatkan aras harga diri.
STRATEGI MEMBINA HARGA DIRI
PERANAN PELAJAR
(a) Bebaskan diri anda daripada sifat teragak-agak atau dikongkong dengan persoalan bolehkah saya? dalam melaksanakan sesuatu perkara yang positif. Oleh itu jangan melayani perasaan ini dan teruskan tindakan anda tanpa ragu-ragu untuk memenuhi potensi yang ada pada diri anda.
(Contoh: Ketika menjawab soalan jangan rasa takut, malu, atau merasakan jawapan anda tidak baik atau tidak setanding dengan rakan-rakan yang lain, tetapi terus jawab dengan sepenuh hati dan sebaik mungkin kemudian tunggu apa yang akan diterangkan oleh guru.
Ingat! anda adalah seorang pelajar dan sedang belajar.
Oleh itu kesilapan yang berlaku ialah perkara biasa dan ia merupakan salah satu daripada proses pembelajaran).
(b) Hormatilah keperluan dan impian yang anda ingini. Kenal pasti apa kehendak anda sebenarnya dan jangan cuma merungut sahaja.
(Contoh: Tanya pada diri sendiri apa yang anda ingini sebagai seorang pelajar? Anggapkan keinginan anda itu boleh dicapai dan setanding dengan orang lain).
(c) Tetapkan matlamat atau objektif yang boleh dicapai pada satu-satu situasi. Kemudian buat perancang dan lakukan tindakan yang spesifik dan sistematik untuk mencapai matlamat tersebut.
(Contoh: Sewaktu belajar tetapkan masa, latihan yang hendak dibuat, dan tetapkan apa yang anda boleh pelajari dalam masa yang anda akan gunakan nanti. Gunakan pelbagai teknik untuk mencapai objektif anda seperti hafalan, catatan dan lakaran rajah atau peta minda. Uji diri sendiri dengan membuat latihan.)
PERANAN GURU
(a) Galakkan pelajar memberi pendapat dan gunakan alat pemikir (thinking tools) sewaktu berinteraksi.
Contoh: apabila pelajar berinteraksi jangan biarkan pelajar diam, gelang kepala atau berkata tidak tahu. Galakkan mereka berkata sesuatu walaupun jawapan tersebut tidak tepat.
Kaitkan jawapan pelajar dengan jawapan sebenarnya supaya terdapat anggapan pelajar bahawa jawapan yang diberikan adalah baik tetapi hanya tidak menepati kehendak soalan sahaja.
(b) Anggapkan apa yang diimpikan oleh pelajar ialah sesuatu yang terbaik pada dirinya. Beri bimbingan dan panduan bagaimana untuk mencapai keinginan pelajar. Contoh: Jika keinginan pelajar mendapat A dalam mata pelajaran Matematik, terangkan persiapan dan langkah satu persatu yang perlu dilakukan ke arah mencapainya.
(c) Bantu pelajar untuk menentukan apa yang perlu dilakukan sewaktu belajar. Contoh: sewaktu pelajar mengulangkaji, pastikan mereka menetapkan tugas yang mereka hendak lakukan, berapa banyak latihan yang hendak dibuat dan tindakan susulan yang perlu diambil.
PERANAN IBU BAPA
(a) Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mencuba dan jangan merendahkan kebolehan mereka.
(b) Mengambil tahu tentang keinginan dan cita-cita anak. Memberi perangsang dan sokongan terhadap apa yang dicita-citanya.
(c) Pastikan anak-anak mempunyai masa yang terancang. Memantau untuk melihat apa yang harus anak-anak lakukan dalam masa mereka berada di rumah. Mewujudkan keadaan di rumah yang selesa untuk belajar tanpa banyak gangguan.
CABARAN DALAM KEHIDUPAN
Setiap kehidupan akan menghadapi cabaran. Cabaran dalam satu definisi a situation or difficulty that tests ones ability to do something yang membawa maksud satu situasi atau kesukaran yang menguji kebolehan kita membuat sesuatu.
Situasi - Cabaran hadir dalam pelbagai situasi, sama ada yang berkaitan dengan perubahan cuaca, perubahan teknologi, perubahan fizikal, mental atau rohani.
Kesukaran - setiap situasi akan disusuli dengan kesukaran.
Menguji kebolehan - setiap kesukaran pula adalah bertujuan untuk menguji kebolehan. Kebolehan berfikir, kebolehan bersabar dan kebolehan menyelesaikan masalah.
Membuat sesuatu - Kebolehan yang diuji memerlukan kita melakukan sesuatu tindakan. Tanpa tindakan setiap cabaran akan berakhir dengan kegagalan tetapi jika disusuli dengan tindakan maka cabaran akan bertukar kepada kejayaan.
Berdasarkan huraian di atas, sebagai seorang pelajar anda harus bijak mengharungi setiap cabaran yang diterima dengan hati yang terbuka, sabar dan mengambil inisiatif menyelesaikannya. Antara cabaran yang mungkin anda hadapi dan tindakan penyelesaian adalah seperti berikut:
1. Kesuntukan masa belajar
Sediakan jadual belajar yang strategik (apa yang hendak dibuat pada masa yang spesifik)
2. Kesukaran memahami sesuatu perkara atau topik.
Beri tumpuan
- Rujuk pelbagai sumber
- Tanya guru
- Buat latihan tambahan.
3. Bosan ketika belajar
- Tentukan hala tuju (apa yang hendak diulang kaji).
- Perlu ada bahan (pelbagai bahan).
- Perlu ada aktiviti (membuat latihan, menghafal, membuat nota, membuat peta minda dan lain-lain).
4. Tidak boleh beri tumpuan ketika belajar (di sekolah)
- Cuba ubah tempat duduk.
- Jangan duduk dengan rakan yang suka bersembang ketika guru mengajar.
- Cari tempat duduk di hadapan atau yang tidak mempunyai halangan.
- Pastikan anda tahu apakah topik yang sedang diajar oleh guru.
- Bertanya guru dengan segera ketika terkeliru.
- Catat nota ringkas atau lakarkan peta.
5. Tidak boleh beri tumpuan ketika belajar (di rumah)
- Pastikan tempat belajar tidak terlalu berselerak.
- Terhindar suasana kebisingan (atau gangguan radio dan TV).
- Adakan pelbagai aktiviti yang dirancangkan (tidak tertumpu pada satu cara belajar sahaja).
- Pastikan sekurang-kurangnya anda telah memahami 40 peratus daripada apa yang diajar di kelas.
- Boleh menjemput rakan untuk berbincang.
Labels:
MoTiVaSi DiRi KiTa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment